Pembentangan Belanjawan & Mini Bajet 2023 Oleh YAB' Perdana Menteri Dato Sri Anwar Ibrahim


Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bajet 2023 akan dikaji semula dan diubah berdasarkan pendapat Kementerian Kewangan (MOF) dan Kabinet kerajaan perpaduan yang baharu.

Anwar berjanji akan memberi ruang kepada kabinet dan Kementerian Kewangan untuk membuat penambahbaikan terhadap Bajet 2023 semasa.

“Saya fikir sebahagian besar (daripada belanjawan itu) boleh diterima walaupun ramai yang membuat andaian bahawa saya akan menentang semua cadangan tersebut.

“Cadangan yang baik kita boleh teruskan,” katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Anwar menegaskan beliau akan menumpukan perhatian kepada pengurusan ekonomi negara dan pada masa yang sama memupuk keyakinan pelabur.

“Banyak syarikat pelaburan dari India, China, Eropah serta Amerika Syarikat telah meminta temu janji untuk minggu akan datang, dan saya akan menumpukan pada menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Agenda Bajet 2023 Yang Diberi Nafas Baru – Perdana Menteri Anwar Ibrahim




Pagi tadi saya ke Kementerian Kewangan ketemu pegawai serta staf kementerian. Saya turut mengadakan sidang media kemudiannya.

Antara isu utama yang saya sebut adalah :

1. Belanjawan baharu akan dibahaskan pada tahun hadapan bersekali dengan pembukaan penggal baharu Dewan Rakyat yang akan dirasmikan oleh KDYMM YDP Agong. Belanjawan itu akan diberi nafas serta pendekatan baharu yang akan mencakup persoalan kemiskinan, kesenjangan serta langkah-langkah khusus dalam memastikan iklim yang lebih segar bagi menggalakkan pelaburan, memulihkan keyakinan serta memacu pertumbuhan ekonomi.

2. RM7 bilion yang diluluskan kerajaan lalu daripada jumlah RM15 bilion bagi projek tebatan banjir akan disemak kerana ia telah diluluskan tanpa proses yang mengikut peraturan. Saya akan pastikan perkara tersebut tidak diteruskan supaya prinsip ketelusan serta peraturan dipatuhi.

3. Saya turut menyentuh mengenai kontroversi pembelanjaan RM580-RM600 bilion semasa PKP. Angka ini dimainkan semasa kempen PRU15 dahulu kononnya kerajaan dahulu membelanjakan wang begitu banyak untuk rakyat. Setelah diteliti, sejumlah besar dari wang itu adalah dari KWSP, iaitu wang simpanan hari tua rakyat sendiri dan juga untuk moratorium bank. Namun, ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan. Justeru, kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar kerajaan kerana ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan melibatkan keluarga turut terpalit.

4. Saya turut akan berbincang dengan Tan Sri Hassan Marican serta mengadakan rundingan dengan pegawai kanan Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai anggota pasukan ekonomi yang akan diketuai beliau.


5. Berkenaan Bernas dan Tan Sri Syed Mokhtar, saya telah mengadakan perbincangan dengan beliau sebelum memberikan arahan kepada Bernas untuk membayar sebanyak RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan kepada pesawah yang miskin dan melarat. Keputusan ini tidak mudah kerana saya berdepan dengan konglomerat yang keuntungannya berbilion ringgit, dan ia tidak bermaksud untuk merobohkan empayar beliau seperti dakwaan Menteri Besar Kedah.

Tarikh Jangkaan Pembentangan

Bajet 2023 akan dibentangkan pada Januari tahun hadapan, menurut Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, kerajaan akan membentang Mini Bajet 2023 pada sidang parlimen pertama, 19 Disember ini bagi meluluskan pembayaran gaji penjawat awam.

SEMOGA MEMBERI MANFAAT !

Catat Ulasan

0 Ulasan