i-Ceria : Kerajaan Sedia Membenarkan Orang Ramai Mengeluarkan Wang KWSP Melalui i-Ceria



Kuala Lumpur : Melalui bantuan kewangan i-Ceria, kerajaan diminta membenarkan pengeluaran sasaran terakhir Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol), pengeluaran itu perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan, berdasarkan jumlah simpanan yang mereka ada untuk menghadapi situasi pasca COVID-19. 

RAKYAT INGIN MENERUSKAN HIDUP

Ini kerana, katanya, terdapat keperluan mendesak dalam kalangan rakyat untuk menggunakan sebahagian wang persaraan mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Beliau berkata, tuntutan itu semata-mata bagi memastikan permintaan 'Keluarga Malaysia' dipenuhi, khususnya bagi yang masih bergelut dengan kesusahan akibat pandemik COVID-19.

"Ditambah pula, musibah banjir baru-baru ini, sudah tentunya merencatkan perjalanan mereka yang baru sahaja memulakan fasa kehidupan baharu. Keadaan mereka ini sudah tentunya semakin parah, bagaikan 'sudah jatuh ditimpa tangga'.

KERAJAAN WAJIB MEMAHAMI ADUAN RAKYAT

"Sebagai kerajaan yang sentiasa memahami denyut nadi rakyat dan sentiasa mendengar setiap keluhan isi hati rakyat. Saya merayu bagi pihak mereka supaya kemudahan i-Ceria dapat diluluskan, agar senyuman dapat terukir kembali pada wajah 'Keluarga Malaysia'.

"Memandangkan jaminan sambutan Aidilfitri tahun ini juga diberikan Bera (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), maka kemudahan i-Ceria ini bakal memberi makna tersendiri buat 'Keluarga Malaysia'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Tuntutan pengeluaran i-Ceria itu menerima sokongan wakil kerajaan dan pembangkang, antaranya Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit); Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin), Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) dan M Karupaiya (PH-Padang Serai).


PENUBUHAN SEMULA INDUSTRI PELANCONGAN

Dalam pada itu, Salim mencadangkan kerajaan membuka semula sempadan antarabangsa, selari titah Yang di-Pertuan Agong bagi mencapai matlamat pemulihan industri pelancongan dan bidang berkaitan secara holistik.

"Meskipun ketika ini pelancongan domestik dibenarkan beroperasi sepenuhnya, namun ia masih belum memadai untuk membantu sektor lain berkait rapat dengan bidang pelancongan.

"Tumpuan tidak boleh hanya diberikan kepada pelancongan domestik sahaja. Sudah tiba masanya, negara mengorak langkah dan meneroka peluang untuk kembali menerima kunjungan pelancong asing," katanya.

MEMORANDUM PENGELUARAN RM10,000 SIMPANAN KWSP

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang menyokong tuntutan pengeluaran RM10,000 simpanan KWSP menjelaskan pihaknya menerima beberapa memorandum pelbagai pihak, agar ia dibenarkan.

Ini kerana, katanya, beliau difahamkan tuntutan berkenaan dibantah segelintir menteri selepas cadangan itu dikemukakan Ismail Sabri pada mesyuarat Kabinet.

"Saya menyokong apa yang disebutkan Jempol (Salim) sebentar tadi bahawa inilah talian hayat terakhir rakyat dan minta kerajaan dapat mempertimbangkan.

"Ini terutamanya selepas kejadian banjir, COVID-19 dan sebagainya, rakyat mula bertatih untuk membina ekonomi mereka... yang tak berniaga selama dua tahun, mereka sudah pun hilang modal untuk bermula semula.

"Kita faham KWSP ini simpanan hari tua. Kita bercakap tentang hari tua, tetapi rakyat bercakap tentang hari ini... apa yang mereka hendak makan," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan