Pemeriksaan Suhu Badan Di Premis Akan Ditamatkan Secara Berperingkat Mulai Jumaat Ini [11 Januari 2022]



Kuala Lumpur : Mesyuarat Menteri Ke-12 Kuartet COVID-19 hari ini memutuskan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk akan dimansuhkan secara berperingkat mulai Jumaat ini.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Pertahanan, berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Dengan pemansuhan ini, pemilik premis tidak lagi diwajibkan menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod di pintu masuk premis masing-masing. Namun, pendaftaran masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa.

"Bagaimanapun, sekiranya pemilik premis masih ingin meneruskan pelaksanaan SOP pemeriksaan suhu dan buku rekod, kerajaan amat mengalu-alukan dan menggalakkannya," katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan hari ini.


Ditanya pilihan individu terutama warga emas tidak mempunyai telefon pintar untuk mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera, Hishammuddin berkata, pemansuhan berkenaan perlu dilakukan bagi memastikan negara bergerak ke hadapan.

"Kalau kita baca buku rekod, macam-macam contengan ada, ini tidak menggambarkan keadaan sebenarnya. Jadi untuk bergerak ke hadapan lebih balik kita tumpukan tujuh tonggak seperti disebut sebelum ini.

"Kalau kita masih dalam takuk dahulu, pada masa sama kita lihat ke hadapan dengan pendekatan baharu, akhirnya orang akan keliru.

"Jadi suhu badan dan buku itu tidak menjadi pertimbangan kita lagi," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan