Bajet 2022 : Kerajaan Menyediakan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Sebanyak RM2,000


 



KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menerusi Belanjawan 2022 dengan bantuan tunai tertinggi iaitu sebanyak RM2,000 bagi mengurangkan bebanan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata BKM dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion, bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima yang akan membabitkan isi rumah mempunyai tiga anak dan lebih, selain purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500 sebulan.

"Bantuan kali ini adalah yang tertinggi berbanding sebelum ini di mana Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hanya memperuntukkan sebanyak RM1,800.

"Bantuan tunai langsung itu ditambah baik dengan memperkenalkan BKM untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka yang terkesan," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Katanya, tumpuan kerajaan adalah untuk meneruskan bantuan tunai langsung secara bersasar, memperkasa aspek pendidikan dan kesihatan awam dan terus menjana peluang pekerjaan.

"Tahun depan, inisiatif bantuan tunai langsung akan ditambah baik, kerajaan akan memperkenalkan BKM dengan beberapa pembaharuan supaya kumpulan yang benar-benar berkesan diberi tumpuan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 ringgit lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

"Bantuan tambahan sebanyak RM300 ringgit lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas. Ini bermakna ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500.

Berhubung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zafrul berkata, syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding PGK 2016 iaitu RM980 sebelum ini.

Katanya, usaha meluaskan liputan perlindungan sosial itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa.

"Oleh itu, dengan kenaikan ini, lebih ramai akan menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah JKM dengan peruntukan tambahan RM200 juta.

"Secara keseluruhan, RM2.4 bilion disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440,000 isi rumah memerlukan," katanya.


Sumber : Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan