Pengumuman Lanjutan Moratorium, Bantuan Bank Bersasar (PM)



Pengumuman Lanjutan Moratorium, Bantuan Bank Bersasar (PM)

Untuk makluman dan pengetahuan anda semua, berkaitan dengan isu lanjutan moratorium seperti yang dimohon oleh sebilangan besar rakyat Malaysia, Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman berkenaan isu ini serta bantuan bank bersasar pada hari ini.

Perkara ini juga telah dinyatakan di dalam Facebook Perdana Menteri melalui poster yang dimuat naik tetapi tiada maklumat lanjut dinyatakan beserta poster tersebut.



Masa Pengumuman

Pengumuman lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar ini akan diumumkan secara langsung di televisyen pada jam 3 petang hari ini iaitu 29 Julai 2020 di siaran RTM, BERNAMA, TV3 dan Astro Awani.

Bank Alami Kerugian

Sebelum ini, pada 27 Julai 2020 yang lepas, Menteri Kewangan Malaysia telah menyatakan bahawa bank di Malaysia dijangka akan mengalami kerugian pengubahsuaian sebanyak RM79 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium iaitu selama 6 bulan akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan pendapatan rakyat Malaysia.

Info Ringkas Moratorium

Tujuan utama moratorium ialah :

1. Moratorium diperkenalkan adalah untuk meringankan aliran tunai (cashflow) dan bebanan kewangan yang ditanggung oleh rakyat dan peniaga, seperti yang disebut dalam kenyataan BNM bertarikh 25 Mac 2020,

"Bagi membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat COVID-19, institusi perbankan akan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh 6 bulan, berkuatkuasa pada 1 April 2020".

Justeru langkah moratorium ini adalah bagi memastikan setiap individu dan peniaga mempunyai 'lebihan tunai' dalam tempoh 6 bulan yang mencabar ini, supaya dapat bertahan dan boleh berbelanja seterusnya menggerakkan ekonomi negara.

2. Moratorium ini adalah bersifat 'cuti pembayaran' (payment holiday), bukannya 'cuti faedah/keuntungan' (interest/profit holiday).

Ini berdasarkan kenyataan BNM bertarikh 25 Mac 2020, "Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan"

Maka pengguna perlu memahami secara terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap penangguhan ini, meliputi aspek:
  1. Jadual pembayaran semula (revised payment schedule)
  2. Jumlah bayaran ansuran (total repayment)
  3. Jumlah bayaran faedah/keuntungan (interest/profit payment)
  4. Jumlah penalti/rebat, jika ada (penalty/rebate)
Nota : Sebarang maklumat lebih lanjut mengenai pengumuman ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Catat Ulasan

0 Ulasan